TOKYO: Penduduk sebuah daerah di Tokyo yang sering menjadi mangsa pencuri bertindak menanam bunga bagi mencantikkan jalan kerana percaya ia dapat mengurangkan jenayah.

‘Operasi Bunga’ bermula tiga tahun lalu dengan menanam bunga yang berada di depan jalan raya, jadi lebih ramai orang aktif menjaga bunga atau menyiramnya,” kata Kiyotaka Ohyagi, pegawai bandar raya Suginami.

“Cara terbaik menghalang jenayah ialah supaya lebih penduduk berada di luar.”

Suginami yang mempunyai 528,800 penduduk mencatat 1,710 kejadian pecah rumah pada 2002. Apabila kumpulan pemantau kejiranan mendapati bilangan kecurian dalam bangunan semakin berkurangan di jalan yang dihiasi bunga, Suginami memutuskan untuk meminta sukarelawan menanam bunga di tepi jalan dan di hadapan rumah. Bunga kini menjadi sebahagian daripada cara dalam kempen membanteras jenayah. Daerah itu juga mempunyai 9,600 peronda sukarela dan 200 kamera keselamatan yang dipasang di kawasan terbabit di mana kejadian pecah rumah banyak berlaku. Ia juga menghantar e-mel maklumat jenayah harian kepada penduduk. Suginami berkata, usaha itu berbaloi kerana kes kecurian menurun kepada 390 pada 2008, hampir 80 peratus berbanding pada 2002. “Penduduk kami berhati-hati tetapi juga aktif dalam isu mencegah jenayah,” kata Ohyagi. – Reuters

Advertisements